Selasa, 8 Mac 2011

Najib Minta Penjawat Awam Jangan Cari Kepuasan Material Semata-mata

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta penjawat awam agar tidak melihat kepuasan bekerja dari sudut material semata-mata tetapi sebaliknya menilai sumbangan mereka yang membawa kebaikan kepada masyarakat dan negara.
“Inilah kepuasan yang paling abadi kepada diri kita apabila khidmat bakti kita itu membawa kepada kebaikan. Lebih-lebih lagi atas konsep ibadat dalam Islam yang sangat luas,” katanya.
“Bekerja bertungkus lumus dengan penuh dedikasi dan integriti adalah juga ibadat dalam Islam dan sudah pasti apa yang kita lakukan dengan ikhlas itu, InsyaAllah akan dapat ganjaran daripada Allah,” katanya pada majlis Persaraan Perbendaharaan 2011 di sini hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau mendapat kepuasan bekerja apabila melihat setiap menteri dan anggota pentadbiran begitu mementingkan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) masing-masing.
“Walaupun ada yang meminta maaf mengatakan terdapat KPI yang tidak dapat dipenuhi kerana di luar kawalan kementerian namun saya yakin menteri itu tahu usaha dan kerja yang dilakukan itu ada dikaitkan dengan apa yang patut dicapai secara makro bagi sebuah kerajaan,” katanya.
Najib berkata KPI yang dicapai sekiranya digabungkan pasti akan menjurus ke arah pencapaian yang diingini bagi negara secara keseluruhannya.
Majlis tersebut adalah bagi meraikan 40 anggota Perbendaharaan yang bersara wajib dari April 2008 hingga 6 Mac lalu.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...