Selasa, 8 Mac 2011

Miliki dadah denda RM5,000

KOTA BHARU – Padah memiliki dua jenis dadah berbahaya, metamphetamine dan nimetazepam September lalu, seorang lelaki 42 tahun dikenakan denda oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam. 

Sukri Abdullah yang beralamat di 9A, Jalan Gual bunut, Rantau Panjang itu didapati bersalah melakukan dua kesalahan itu di sebuah rumah Lot 520 Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian 20 September 2010. 

Dalam serbuan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Bharu itu, Sukri bersalah memiliki 0.14 gram metamphetamine dan 0.50 gram nimetazepam jam 12.30 petang. 
Sukri dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ABD) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama. 

Mahkamah turut menjatuhkan penjara enam bulan terhadap kedua-dua kesalahan itu masing-masing. 

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang wanita dituduh atas kesalahan sama kerana memiliki 1 gram dadah heroin di alamat Lot 751, Kampung Beta Hulu jam 1.50 petang 3 Mac lalu. 

Suhaily Harun, 28, turut menghadapi pertuduhan menagih dadah jenis metamphetamine pada masa, tempat dan masa yang sama. 

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sejumlah RM7,500 sementara menunggu sebutan semula kes 29 Mac depan. 

Kedua-dua pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Noor Dayana Mohamad.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...