Selasa, 22 Mac 2011

Kadar jenayah tunjuk penurunan 23 peratus

SHAH ALAM – Sebanyak 23 peratus jenayah di Selangor berjaya diturunkan sepanjang Ops Payung diperkenalkan awal tahun ini. 

Seramai tiga orang anggota diletakkan setiap kali Ops Payung berjalan. Dua anggota akan memantau sekitar kawasan bertugas manakala seorang anggota akan menunggu di tempat yang menyediakan payung polis. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, Ops Payung diperkenalkan untuk menurunkan kadar jenayah di beberapa kawasan peta jenayah 

Menurutnya, operasi tersebut akan terus dilaksanakan bagi memastikan masyarakat setempat berasa selamat sepanjang masa dan tidak terdedah kepada risiko jenayah. 
“Kita arahkan setiap balai polis kawasan melakukan operasi tersebut (Ops Payung) selama lapan jam sehari di zon berlakunya jenayah yang tinggi dan tumpuan masyarakat. 

“Buat masa ini, sambutan yang di terima adalah positif. Ada yang mencadangkan supaya tempoh operasi tersebut dipanjangkan. Kita akan cuba mengaplikasikan cadangan tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 

Beliau berkata, selain menurunkan kadar jenayah, Ops Payung juga bertujuan untuk merapatkan hubungan antara anggota polis dengan masyarakat. 

“Kita mahu masyarakat anggap kita sebagai kawan bukan musuh yang perlu ditakuti. Orang ramai yang melihat polis berada di tempat mereka tidak perlu bimbang kerana kita sedang menjalankan tugas. 

“Ops Payung juga menjadi lokasi untuk semua anggota peronda berkongsi maklumat tentang tahap keselamatan pada hari bertugas,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...