Selasa, 22 Mac 2011

Polis ronda lebih kerap

JOHOR BAHRU – Sebanyak 25 pondok bit polis di sekitar bandar raya ini dibuka sebagai usaha mengurangi kadar jenayah sekali gus menimbulkan perasaan selamat di kalangan orang ramai dan pelancong. 

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, daripada jumlah berkenaan, pondok bit polis di kawasan Johor Bahru Utara dan Nusajaya sudah beroperasi dengan menempatkan anggota yang bertugas 24 jam mengikut syif. 

Katanya, orang ramai kini boleh membuat laporan di pondok bit polis yang beroperasi apabila berhadapan situasi kecemasan sekiranya mempunyai kesukaran untuk ke balai dalam tempoh segera. 
“Dengan adanya pondok bit ini, kekerapan rondaan di kawasan sekitar bandar raya ini akan dapat ditingkatkan lagi dari semasa ke semasa. 

“Anggota yang bertugas akan menerima maklumat dan aduan sekiranya orang ramai mempunyai kesukaran ke balai polis. 

“Dijangkakan pondok bit polis bagi kawasan Seri Alam dan Johor Bahru Selatan bakal beroperasi dalam masa terdekat demi kepentingan dan keselamatan di sekitar bandar raya ini,” kepada pemberita dalam siding akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, baru-baru ini. 

Selain itu, Jalaluddin turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk memeriahkan sambutan Hari Polis Peringkat Negeri Johor pada 25 Mac ini yang bakal diadakan di Teluk Danga, di sini. 

“Konsep sambutan Hari Polis kali ini lebih kepada bersama masyarakat selain memartabat dan memperkasakan sistem kepolisan dalam mengharungi cabaran dari masa ke semasa. 

“Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai dan pihak media kerana banyak membantu polis sehingga kadar jenayah di negeri ini khususnya jalanan berjaya diturunkan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...