Ahad, 20 Mac 2011

Negara Rugi RM40 Juta Akibat Kes Kecurian Kabel Telekomunikasi, Kata Rais Yatim

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Negara kerugian RM40 juta akibat kecurian kabel telekomunikasi sepanjang tahun lepas, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata kejadian yang kebanyakannya berlaku di menara telekomunikasi di seluruh negara itu telah memberi kesan besar kepada pengguna dan penyedia perkhidmatan tersebut.

"Apabila kabel-kabel itu dicuri perkhidmatan akan tergendala dan apabila khidmat tergendala mungkin ada di antara kita akan merasa bahawa khidmat itu tidak sempurna lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'Merakyatkan Seni Budaya Sukan Rakyat 1Malaysia', di sini
Turut hadir isteri beliau Datin Seri Masnah Rais, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Kamarudin Siaraf.

Rais berkata di sebalik tindakan yang diambil syarikat telco, masalah itu mungkin berlarutan jika masyarakat tidak bersama-sama memainkan peranan menjaga menara telekomunikasi terbabit.

"Jadi kita minta supaya pihak-pihak yang mengetahui kecurian kabel di merata kawasan, sama ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak supaya membuat laporan kepada polis sekiranya terlihat aktiviti mencurigakan di sekitar kawasan menara," katanya.

Mengulas perkembangan lain, Rais berkata kementerian itu bersama pihak berkaitan sedang berusaha meningkatkan kelajuan penerimaan isyarat internet yang turun sebanyak lima peratus selepas kejadian gempa bumi di Jepun baru-baru ini.

Beliau berkata gegaran tersebut menyebabkan kabel dasar laut yang mengagihkan isyarat mengalami gangguan, terutamanya yang melalui negara berkenaan.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...