Ahad, 20 Mac 2011

Tawar iklan percuma, salah guna nama Sinar Harian

SHAH ALAM – Sinar Harian tidak pernah melantik mana-mana individu membuat tawaran iklan percuma termasuk untuk tujuan tidak bertanggungjawab. 

Sebarang pembelian atau tawaran pakej iklan dalam Sinar Harian diuruskan sepenuhnya eksekutif jualan yang dilantik secara sah dan bukan melalui pihak tertentu yang menggunakan faks, e-mel dan sistem pesanan ringkas (SMS) menawarkan iklan percuma.
Kebelakangan ini, :Sinar Harian :menerima banyak aduan berhubung penipuan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan pakej jenama akhbar ini untuk memperdaya orang ramai. 

Terbaru, sebuah syarikat yang menawarkan latihan serta kursus asas belajar dan mengajar al-Quran di beberapa tempat termasuk Shah Alam, menjadi mangsa penipuan individu tidak dikenali yang memperkenalkan diri dengan nama Ketua Pengarang Sinar Harian, Norden Mohamed. 

Mangsa yang juga pengurus salah sebuah pusat latihan di bawah syarikat itu, Mohamad Feroz Mohammad Zaini berkata, lelaki terbabit yang kononnya adalah ‘Norden’ dari Unit Pengiklanan Sinar Harian menghantar e-mel serta SMS kepada pihak syarikatnya. 

Menurutnya, kandungan SMS serta e-mel itu mendakwa, unit pengiklanan tersalah cetak iklan yang sepatutnya disiarkan pada 16 Mac lalu hingga semalam. 

“Disebabkan itu, mereka menawarkan iklan yang sepatutnya ditawarkan kepada sebuah hotel terkenal kepada syarikat kami. 

“Bayaran pengiklanan dikecualikan dan syarikat kami hanya perlu membuat pembayaran permit RM2,150 atas nama Ketua Pengarah Bendahari Kewangan Unit Cukai Penyiaran Iklan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Mohd Asri Salleh,” katanya. 

Mohamad Feroz berkata, laporan polis sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi menyiasat kes itu termasuk mengesan individu yang mengaku sebagai ‘Norden Mohamed’.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...