Ahad, 20 Mac 2011

Tiga lagi kena jangkitan ‘Adenovirus’ masuk ICU

Pesakit pelatih inspektor PULAPOL KL termasuk 2 wanita

PUTRAJAYA: Tiga lagi pelatih inspektor Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL KL) dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, pagi semalam selepas dijangkiti ‘Adenovirus’. 

Tiga pelatih terbabit termasuk dua wanita sebelum ini dirawat di wad biasa HKL. Ini menjadikan empat pelatih termasuk seorang konstabel ditempatkan di ICU hospital itu akibat jangkitan virus berkenaan, sehingga malam tadi.


Komandan PULAPOL, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Mohamed, berkata empat pelatih yang dimasukkan ke ICU adalah antara kumpulan 23 pelatih yang sedang menerima rawatan di wad biasa HKL sejak dua minggu lalu.



“Sehingga jam 8 malam tadi, seramai 389 pelatih konstabel dan pelatih inspektor masih menjalani pengasingan di bilik gerakan PULAPOL hingga kesihatan mereka pulih,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam. 

Semalam, pelatih inspektor, Mohd Ridzuan Ishak, 26, meninggal dunia pagi kelmarin selepas dirawat di ICU selama seminggu. 

Kematian pertama membabitkan seorang pelatih konstabel, Mohd Azizan Azirid, 21, dari Kuala Kangsar, Perak yang meninggal dunia pada Selasa minggu lalu selepas dirawat selama lima hari di unit rawatan sama. 

Sementara itu, Ketua Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Robiah Abdul Ghani, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi perhatian serius terhadap jangkitan ‘Adenovirus’ dan sering mendapatkan nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 
“Langkah-langkah pembersihan diteruskan bagi memastikan jangkitan virus terkawal dan pelatih yang sudah sihat dibenarkan menjalani aktiviti riadah ringan. 

“Pelatih wanita pula akan ditempatkan ke asrama baru sebaik proses pembersihan selesai dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam. 

Sementara itu, ahli keluarga mangsa kedua yang meninggal dunia akibat dijangkiti ‘Adenovirus’, Allahyarham Mohd Azizan melakukan ujian kesihatan di HKL bagi mencegah virus itu daripada merebak. 

Bapa mangsa, Ishak Taharin, 48, berkata beliau sekeluarga menjalani pemeriksaan, kelmarin ketika menunggu proses bedah siasat yang dijalankan terhadap anaknya. 

“Hospital memaklumkan keadaan kami sekeluarga baik dan bebas daripada ‘Adenovirus. Pihak hospital turut membekalkan beberapa jenis ubat antibiotik sebagai langkah pencegahan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Sementara itu, ahli keluarga yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan pelatih PULAPOL atau perkara lain boleh menghubungi bilik gerakan PULAPOL di talian 03-26882009 dan 03-26882062. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...