Isnin, 28 Mac 2011

Peguam disamun lelaki bertopeng rugi RM100,000

KOTA BHARU - Seorang peguam mengalami kerugian kira-kira RM100,000 setelah rumahnya dipecahkan masuk dalam kejadian samun di Kampung Peringat, Melor di sini, pagi semalam. 

Ketika kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, peguam berusia lingkungan 40-an, dipercayai tidur bersama isterinya dalam bilik rumah terbabit. 

Kejadian disedari mereka, apabila terdengar bunyi hentakan kuat pada pintu bilik mereka sebelum diserbu sekumpulan lelaki bertopeng. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superitendan Idris Abd Rafar berkata, penjenayah itu bertindak mengikat mangsa dengan wayar sebelum mengarahkannya membuka peti besi dalam bilik itu.

”Mangsa yang ketakutan bergegas membuka peti besi dan suspek bertindak mengambil semua barang kemas milik isteri mangsa yang dianggarkan RM80,000. 
”Mereka juga turut melarikan tunai RM25,000,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 

Idris berkata, suspek dipercayai masuk melalui pintu depan dan keluar melalui laluan sama. 

Menurutnya, selepas hampir 20 minit dalam rumah mangsa, empat lelaki terbabit yang dipercayai berkomunikasi loghat Indonesia kemudian melarikan diri menaiki pacuan empat roda. 

Menurutnya, sebaik penjenayah terbabit keluar, mangsa dan isterinya kemudian menjerit meminta bantuan jiran sebelum menghubungi polis. 

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Melor berhubung kejadian itu. 

Menurutnya, hasil tindakan pantas polis, akhirnya salah seorang daripada empat suspek berjaya ditahan kurang tiga jam selepas mereka disyaki merompak rumah terbabit. 

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan ketika menaiki sebuah pacuan empat roda di kawasan Tok Bali oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, pada jam 7 pagi selepas menerima laporan pada jam 4.20 pagi. 

Dengan penahanan itu, polis turut menemui sebuah telefon bimbit milik mangsa. 

“Lelaki terbabit yang juga penduduk tempatan kini ditahan untuk membantu siasatan,” katanya. 

Beliau berkata, polis sedang melancarkan gerakan memburu tiga lagi penjenayah yang dipercayai rakan suspek. 

Menurutnya, siasatan dijalanakan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...