Isnin, 11 Jun 2012

4 rompak pengurup wang

Image Detail
JOHOR BAHRU 7 Jun - Polis telah menubuhkan satu pasukan khas bagi memburu empat suspek kes rompakan pengusaha kedai pengurup wang sehingga menyebabkan seorang pengawal keselamatan cedera akibat ditembak lima das di pusat membeli-belah Holiday Plaza di sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), terdapat empat suspek terlibat termasuk salah seorang daripadanya menunggu dalam kereta.

Beliau berkata, pihaknya telah mengambil keterangan daripada mangsa bagi membantu siasatan dan usaha memburu suspek dijalankan.

“Kami berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung agar memaklumkannya kepada balai polis berhampiran," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan seorang pengawal keselamatan, R. Paul, 50, cedera selepas terkena lima das tembakan oleh perompak bertopeng dan bersenjatakan pistol ketika mengiringi majikannya yang juga pemilik kedai pengurup wang ke keretanya.

Akibat kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, Paul cedera di perut, belakang leher, tangan kiri, paha kanan dan pinggang manakala pemilik kedai pengurup wang berkenaan kerugian lebih RM100,000.

Sementara itu, Paul ketika ditemui pemberita di HSA di sini hari ini memberitahu, dia bersyukur kerana masih hidup.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...