Isnin, 11 Jun 2012

Wanita rugi RM20,000 beg diragut

Image Detail
KUANTAN 7 Jun - Seorang wanita rugi kira-kira RM20,000 apabila beg tangannya diragut dua lelaki yang menaiki motosikal ketika hendak memasuki keretanya di hadapan surau Taman Murni dekat Sungai Isap, di sini semalam.

Menurut Pegawai Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri, kejadian tersebut berlaku pukul 10.40 pagi selepas mangsa menghadiri mesyuarat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di surau berkenaan.

Kata beliau, mangsa berusia 44 tahun itu rugi kira-kira RM20,000 termasuk wang AIM sebanyak RM5,076, wang sendiri kira-kira RM500 dan beberapa gelang serta rantai emas miliknya.

"Ketika mangsa hendak masuk kereta, tiba-tiba dia didatangi dua lelaki bermotosikal dari arah belakang sebelum seorang daripadanya meragut beg mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kata beliau, mangsa yang terkejut tidak sempat berbuat apa-apa sebaliknya hanya dapat melihat suspek yang memakai topi keledar melarikan diri.

Jelasnya, mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan itu segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan sejurus selepas kejadian.

"Kes masih dalam siasatan dan akan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...