Isnin, 11 Jun 2012

Penyeludup guna senjata api

Image Detail
KUALA LUMPUR 8 Jun - Peningkatan penggunaan senjata api untuk tujuan jenayah di Kelantan dikesan berlaku akibat peningkatan sindiket penyeludupan haram khususnya barangan keperluan asas di sempadan negara.

Aktiviti penyeludupan yang aktif di sempadan Sungai Golok dan pesisiran pantai mendorong individu terlibat dalam kegiatan itu untuk memiliki senjata api sebagai persediaan jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Masalah hutang, perebutan kawasan dan barang seludup serta persaingan antara sindiket-sindiket tempatan dan asing turut menyumbang peningkatan penggunaan senjata api.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin (gambar) berkata, kebanyakan aktiviti penyeludupan di sempadan adalah ekoran permintaan tinggi terhadap barangan keperluan asas seperti beras, minyak dan gas memasak.

“Biasanya pergaduhan berlaku antara sindiket penyeludupan dan pelanggan yang merupakan orang tengah barangan seludup. Ia berpunca daripada kegagalan pelanggan membayar hutang selepas memperoleh barang-barang seludup.

“Sindiket akan mengenakan bayaran mengikut risiko yang terpaksa mereka hadapi di sempadan negara untuk mendapatkan bekalan barang seludup.

“Semakin tinggi risiko, semakin tinggi nilai barang-barang tersebut. Jadi harga yang dikenakan kepada pelanggan selalu berubah-ubah namun masih rendah berbanding pasaran tempatan," katanya katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, kelmarin.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius peningkatan bilangan kes membabitkan penggunaan senjata api di lima negeri khususnya di Selangor dan Kelantan sepanjang lima bulan pertama tahun ini.

Selangor merekodkan peningkatan bilangan kes tertinggi diikuti oleh Pulau Pinang, Kedah, ibu negara dan Kelantan.

Beberapa faktor seperti kepadatan penduduk menyumbang kepada peningkatan jenayah senjata api itu di negeri-negeri berkenaan selain masalah di sempadan turut menjadi punca senjata api lebih mudah diperoleh sehingga mengakibatkan berlaku jenayah.

Dalam pada itu, Mohd. Bakri berkata, siasatan mendapati kebanyakan senjata api diperoleh adalah jenis lama dan telah diubah suai.

“Dengan hanya membayar beberapa ribu sahaja, mereka boleh mendapatkan senjata api itu di sempadan negara.

“Malah kita tidak menolak kemungkinan senjata-senjata api seperti pistol yang diperoleh itu adalah hasil ubah suai daripada senjata api yang telah digunakan ketika konflik peperangan negara jiran pada dekad 1970-an," katanya.

Lebih membimbangkan, Mohd. Bakri memberitahu, kesan penyeludupan akan mengakibatkan lambakan senjata api di dalam negara hingga memudahkan berlakunya aktiviti jenayah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...