Selasa, 12 Jun 2012

TINDAKAN PERLU DIAMBIL MEMBERSIHKAN MARWAH PDRM & HOSPITAL ???

Hospital Malaysia tidak terlibat

KUALA LUMPUR 11 Jun - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan bahawa hospital di negara ini menjalankan aktiviti pemindahan organ manusia secara haram.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, laporan beberapa akhbar dan agensi berita tahun lalu yang memetik kenyataan dua lelaki warga Bangladesh mendakwa hospital di negara ini menjalankan aktiviti tersebut adalah tidak benar.


Beliau berkata, laporan berita bertajuk Malaysia among countries in illegal kidney trade probe disiarkan dalam akhbar The Sun, The Star dan Bernama Online pada September 2011.

"Pada Mac 2012, satu rencana bertajuk Human organs harvested in Malaysia yang ditulis oleh Priscilla Aneesa Alphonsus telah diterbitkan di portal berita Free Malaysia Today.

"Rencana ini mengatakan bahawa penulis temu ramah dua lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an yang menjadi mangsa penjualan organ iaitu buah pinggang di Malaysia untuk menampung hutang dan perbelanjaan keluarga mereka di negara asal," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hassan Abdul Rahman.

Menurut Mohd. Bakri, siasatan terperinci dijalankan oleh Unit Anti Pemerdagangan Orang (ATIP), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bersama polis antarabangsa (Interpol) dan KMM mendapati bahawa tiada sebarang bukti yang dapat mengesahkan dakwaan laporan berita berkenaan.

Beliau berkata, keterangan diperoleh mendapati penulis berita tersebut tidak dapat memastikan kesahihan dakwaan kedua-dua mangsa dan hanya merupakan keterangan cakap mulut (hearsay).

Katanya, keterangan dan maklumat daripada penulis juga tidak banyak membantu siasatan termasuk mengesan kedua-dua mangsa yang dimaksudkan.

"Pengesahan polis Bangladesh melalui emel kepada PDRM bertarikh 25 Oktober tahun lalu menyatakan tiada langsung hospital di Malaysia terlibat dengan pemindahan dan pemerdagangan buah pinggang.

"Sehingga kini, tiada laporan polis dibuat dua lelaki Bangladesh yang mendakwa menjadi mangsa eksploitasi penjualan organ di negara ini," katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Bakri meminta pihak media agar memberi maklumat tepat dalam laporan berita yang disiarkan kerana mereka boleh didakwa jika menyiarkan kenyataan palsu yang menjejaskan imej negara.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mana-mana individu menawarkan organ manusia untuk dijual supaya segera melaporkan perkara itu kepada polis agar siasatan dapat dilakukan.

Sementara itu, Dr. Hassan berkata, pihaknya memandang serius dan tidak berkompromi terhadap sebarang aktiviti pemindahan organ secara haram kerana dasar kerajaan dan amalan kedoktoran di negara ini tidak membenarkan perkara tersebut berlaku.

"Jika ada amalan ini, kita tidak kompromi dan terus lapor kepada polis. Ini kerana jika dibiarkan berlarutan, orang ramai akan membuat andaian buruk terhadap profesion kita sebagai doktor di Malaysia.

"Di Malaysia, kita tidak membenarkan penjualan organ. Kalau ada yang nak buat pendermaan, mereka kena membuat permohonan secara rasmi sama ada melalui ahli keluarga terdekat atau pihak hospital yang seterusnya menghantar permohonan itu kepada KKM untuk kelulusan," katanya. 

Kata Dr. Hassan, Kementerian Kesihatan mempunyai jawatankuasa khas yang menyiasat status penderma dan penerima organ bagi mengelak berlaku aktiviti pemindahan organ secara haram.

Beliau berkata, terdapat banyak ujian perlu dilakukan sebelum proses pemindahan organ dibenarkan dan pihak kementerian berhak menolak mana-mana permohonan mencurigakan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...