Selasa, 12 Jun 2012

Polis jejaki seorang lelaki bantu siasatan kes bunuh

Image Detail
Gambar hiasan
SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan sedang menjejaki seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat lelaki berumur 50-an dengan kesan tikaman di tepi jalan utama Linggi-Lubuk Cina, Rembau pada 15 Mei lepas.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Hamdan Majid berkata lelaki itu, Ausman Mohd Dahlan atau lebih dikenali dengan panggilan Din, 50, beralamat terakhir No.5, Lorong Jaya 1, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur dan 389, Lorong Teluk 5, Kampung Teluk, Pasir Panjang, Batu 16, Port Dickson.
  
"Ausman, seorang dukun dipercayai orang terakhir yang sepatutnya ditemui simati. Kami yakin Ausman dapat membantu polis menyelesaikan kes ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
  
Hamdan berkata siasatan mendapati mangsa (simati) adalah warganegara Malaysia berasal dari Kepong, Kuala Lumpur yang didapati telah hilang atau keluar rumah pada 14 Mei untuk bertemu dengan seseorang di kawasan Port Dickson.
  
Katanya, setelah puas mencari, isteri mangsa kemudian membuat laporan polis pada 18 Mei lepas mengenai kehilangan suaminya.
  
"Simati adalah seorang pemandu peribadi kepada seseorang di Kuala Lumpur. Ekoran kehilangan dan laporan yang dibuat itu pihak polis telah menahan tiga lelaki berumur 30-an di Perak dan berjaya merampas sebuah kereta dipercayai digunakan simati semasa keluar rumah.
  
"Suspek kini ditahan reman sehingga 15 Jun. Suspek adalah kenalan kepada lelaki yang sedang kita cari," katanya.
  
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Ausman diminta menghubungi balai polis terdekat
atau pegawai penyiasat ASP R.K. Naga di Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau di talian 06-6852222. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...