Selasa, 12 Jun 2012

Peniaga cedera, rugi RM 70,000 dirompak 2 lelaki bersenjatapi

Image Detail
BUKIT MERTAJAM - Seorang peniaga cedera pada bahagian kepala dan kerugian lebih RM70,000 selepas disamun dua lelaki dipercayai bersenjatakan pistol di rumahnya di Taman Desa Damai, di sini awal pagi semalam.
 
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Azman Abd Lah berkata pada kejadian pukul 5 pagi itu, dua perompak yang menaiki kereta jenis Proton Waja memecah masuk rumah mangsa.

Ahli perniagaan lelaki itu tinggal bersama bapanya dan menyedari rumahnya dipecah masuk setelah terdengar bunyi bising sebelum beliau keluar dari bilik dan bergelut dengan dua perompak terbabit.

"Salah seorang perompak terbabit mengetuk pistol di kepala mangsa sebelum melepaskan tembakan amaran," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya bapa mangsa yang terdengar bunyi tembakan itu terjaga dan ketika beliau keluar dari bilik, dua perompak itu melarikan diri dengan kereta jenis Mercedes Benz lama berharga RM70,000.

Peniaga itu kemudiannya dibawa oleh bapanya ke Hospital Bukit Mertajam dan menerima rawatan pesakit luar.

Katanya siasatan awal mendapati kereta Proton Waja yang  digunakan dua lelaki itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan polis mengesyaki ia adalah kereta curi.

Azman berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...