Selasa, 12 Jun 2012

Pemilik kedai besi buruk mati diserang 20 lelaki

SIVANESAN
SELAYANG - Seorang lelaki, R Sivanesan, 36, yang sedang rancak berbual bersama abang dan dua lagi rakannya maut ditikam individu tidak dikenali di Taman Sri Murni Jinjang di sini, semalam.

Menurut sumber, Sivanesan diserang sekitar jam 4.30 petang semalam, berhampiran rumah mangsa dan juga kedai besi buruk miliknya, yang terletak 50 meter dari lokasi kejadian.

Sumber berkata sewaktu mangsa sedang berbual, tiba-tiba sebuah kereta jenis Waja melanggar motosikal milik salah seorang rakannya sebelum mereka keluar membawa parang.

"Dalam keadaan terkejut, mangsa bersama abang dan dua rakannya cuba melarikan diri sebelum dua lagi kenderaan tiba serta mengejar mangsa.

"Mangsa gagal melepaskan diri menyebabkan dicederakan menggunakan alat tajam termasuk parang dan cedera teruk di kepala," katanya, semalam.

Bagaimanapun katanya, abang dan dua rakannya sempat melarikan diri dan mangsa disahkan mati ketika menerima rawatan di Hospital Selayang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan kejadian.

"Mangsa seorang pemilik bengkel besi buruk mati ditikam oleh 15 hingga 20 orang. Kes disiasat di bawah 302 kanun keseksaan," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...