Selasa, 28 Ogos 2012

Kes curi motorsikal berlaku hampir setiap hari

Gambar hiasan

NILAI – Hampir setiap hari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai menerima aduan daripada orang awam yang melaporkan kehilangan motosikal di kawasan perumahan mereka.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Yusof Awang berkata, daripada laporan diterima, 80 peratus membuat aduan merupakan penduduk di kawasan rumah pangsa.

“Memang setiap hari ada sahaja laporan kita terima dan kadang-kadang ada dua atau tiga kes kehilangan motosikal di lokasi sama.

“Jika dulu kes curi motosikal banyak berlaku di kawasan bandar, tapi sekarang mereka mula menukar lokasi ke kawasan perumahan terutama rumah flat,” katanya.

Menurutnya, mereka menjadikan rumah pangsa sebagai sasaran berikutan kawasan terbabit mempunyai kapasiti penduduk ramai sehingga menyukarkannya untuk dikesan.

Kata Yusof, kebanyakan motosikal sering menjadi mangsa adalah jenis Honda EX5 dan Yamaha berikutan permintaan tinggi di pasaran.

“Di rumah flat ini penduduk hanya meletakkan kenderaan mereka di kawasan terbuka dan sebab itu ia mudah menjadi sasaran penjenayah.

“Kita percaya penjenayah ini akan menjual motosikal terbabit atau mengambil alat ganti untuk dijual kerana harganya yang tinggi,” katanya.

Justeru, Yusof menasihatkan penduduk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan menjalankan aktiviti pencegahan jenayah lebih aktif. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...