Selasa, 28 Ogos 2012

Penganggur maut dikelar

Gambar hiasan

BALIK PULAU – Seorang penganggur maut dipercayai dikelar dengan senjata tajam dalam kejadian yang berlaku di Kampung Sungai Pinang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asistan Komisioner Mazlan Kesa berkata, mangsa, Ghadzali Ahmad, 53, yang tinggal bersendirian ditemui mati dengan kesan kelar di leher, manakalanya tangannya diikat di depan menggunakan kain pelikat yang dikoyak.

“Mangsa ditemui rakannya yang datang ke rumah kira-kira jam 10 pagi, untuk membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan penyakit asma yang dihidapinya.

“Rakannya bertindak memecahkan pintu selepas panggilannya tidak berjawab sebelum menemui mangsa yang hanya berkain pelikat dalam keadaan terlentang dan seterusnya membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menemui sebilah pisau di atas katil yang dipercayai digunakan untuk mengelar mangsa.

“Hasil siasatan mendapati, mangsa meninggal dunia kirakira 12 jam lalu dan terdapat kesan pergelutan di dalam bilik.

“Motif pembunuhan masih belum diketahui memandangkan dompet mangsa berisi wang tidak terusik.

“Berdasarkan maklumat, kali terakhir mangsa dilihat pada jam 8 malam selepas membelikan bunga api untuk saudara-maranya yang tinggal bersebelahan rumahnya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengesan dua lelaki tempatan yang dipercayai dapat membantu siasatan. “Kami berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian dapat tampil bagi membantu siasatan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk dibedah siasat,” katanya. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...