Selasa, 28 Ogos 2012

Peniaga Wanita nyaris menjadi mangsa samun


Tindakan pantas peniaga wanita pecut kenderaan elak jadi mangsa samun


SHAH ALAM: Cubaan empat lelaki untuk menyamun seorang peniaga wanita di Taman Paling Jaya, Semenyih, awal pagi semalam gagal dengan tindakan pantas wanita berusia 45 tahun berkenaan memecut kenderaannya untuk menyelamatkan diri.

Dalam insiden kira-kira 12.30 tengah malam itu, wanita itu yang berada dalam keretanya untuk pulang ke rumah selepas berniaga, dihampiri empat lelaki yang menaiki kereta Perodua Myvi. 


Dua daripada suspek kemudian keluar daripada kereta tersebut dan menghampiri kereta yang dinaiki mangsa sebelum memecahkan cermin tingkap kereta mangsa dipercayai untuk menyamunnya. 

"Terkejut dengan tindakan itu dan bimbang akan dicederakan suspek, mangsa kemudian segera memecut keretanya untuk menyelamatkan diri," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.




Katanya mangsa telah memandu keretanya ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.



Bertindak berdasarkan maklumat, katanya, empat lelaki yang berumur dalam lingkungan 19 hingga 26 tahun ditahan di Plaza Tol Sungai Ramal, Kajang pada kira-kira pukul 2 pagi semalam. 

Mohd Adnan berkata polis antara lain menjumpai dua bilah parang, sebilah pisau dan sebatang kuku kambing daripada suspek. 

"Polis sedang menyiasat sama ada kumpulan penjenayah ini terlibat dalam kes samun di sekitar Lembah Klang," katanya. 

Dalam kes lain, Mohd Adnan berkata polis menahan seorang lagi suspek berusia 26 tahun yang disyaki terlibat dalam cubaan merompak mesin pengeluaran wang tunai automatik (ATM) di sebuah bank di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi 15 Ogos lepas. 

Lelaki itu ditahan di Saujana Prima, Kajang semalam, katanya. 

Pada 15 Ogos lepas, hasrat lima lelaki merompak ATM di sebuah bank di UKM gagal selepas perbuatan mereka disedari pengawal keselamatan di universiti itu. 

Susulan itu, dua suspek berumur 23 dan 26 tahun, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan pada hari kejadian bagi membantu siasatan. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...