Rabu, 8 Ogos 2012

Kes kecurian motosikal di daerah Kuala Terengganu meningkat sehingga 20 peratus


Geng Sekejap curi motosikal masa Terawih
KUALA TERENGGANU - Kes kecurian motosikal di daerah Kuala Terengganu meningkat sehingga 20 peratus sepanjang Ramadan kali ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, kebanyakan kes kecurian dilaporkan itu berlaku di surau dan masjid, dipercayai dijadikan sasaran ketika pemiliknya menunaikan solat Terawih.
Menurutnya, berdasarkan laporan yang diterima, penjenayah yang digelar ‘Geng Sekejap’ ini melarikan motosikal ketika orang ramai sibuk mengerjakan solat Terawih memandangkan kebanyakan laporan yang diterima pihaknya, selepas waktu solat Terawih.
“Kita percaya penjenayah ini melakukan kegiatan curi motosikal sepanjang Ramadan ini bagi mendapatkan ‘duit poket’ bagi menyambut hari raya, sama ada dengan menjual motosikal atau menggunakannya ketika hari raya nanti.
“Tapi kita melihat faktor peningkatan kes ini juga berpunca daripada kecuaian iaitu ada antara pemilik kenderaan yang pulang dari masjid dan surau dengan singgah di kedai untuk membeli barang tanpa mengunci kenderaan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjayakan program agihan bubur lambuk percuma kepada pengguna jalan raya di Taman Permint Jaya, Chendering di sini, semalam.
Pada majlis itu, kira-kira 600 bekas bubur lambuk diagihkan kepada pengguna jalan di sekitar kawasan Taman Permint Jaya bagi memeriahkan suasana Ramadan.
Zamri berkata, sikap masyarakat itu sendiri memudahkan penjenayah melakukan kegiatan mereka walaupun berada di tempat awam. Namun, setakat ini, lebih 50 peratus kes kecurian motosikal sepanjang Ramadan telah berjaya diselesaikan dengan lebih 10 tangkapan sudah dilakukan setakat ini.
“Saya harapkan orang ramai memastikan kenderaan mereka berkunci dengan baik supaya tidak menjadi sasaran pencuri.
“Kalau boleh, gunakan tambahan peralatan keselamatan seperti mangga kunci dan rantai besi. Bagi pihak polis sendiri, kita turut meningkatkan rondaan dan pemantauan di kawasan yang dianggap panas bagi mengelakkan kejadian curi di daerah ini,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...