Rabu, 8 Ogos 2012

Penyamun tidak berpuas hati !!!

Empat penyamun putih mata
Empat penyamun putih mata


Batang Kali - Empat penjenayah terpaksa berputih mata setelah tindakan mereka menyamun sebuah kedai emas di sini tidak berhasil.
Kejadian petang Sabtu lalu itu berlaku di kedai emas yang baru beberapa bulan dibuka berdekatan sebuah pasaraya.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, empat penjenayah terbabit dikatakan bertindak memecahkan cermin pameran yang menempatkan pelbagai jenis emas namun ciri keselamatan yang kukuh menggagalkan tindakan itu.
“Menurut mangsa berusia 33 tahun iaitu penyelia kedai emas berkenaan, kira-kira jam 4.56 petang dua motosikal jenis Yamaha RXZ warna hitam dan Yamaha 135 LC warna merah dinaiki empat lelaki berhenti di hadapan kedai mereka.
“Dua daripada mereka yang berbaju hitam dan hijau masuk membawa satu bungkusan plastik berwarna hitam lalu bertindak mengetuk cermin pameran menggunakan tukul besi namun hanya retak sahaja.
“Salah seorang ada menunjukkan senjata seperti pistol. Apabila cubaan mereka memecahkan cermin tidak berjaya mereka terus melarikan diri,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu dan penjenayah terbabit tidak sempat melarikan barangan kemas.
Menurutnya, kejadian itu disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, seorang pengunjung kedai borong bersebelahan berkata, dia hanya menyedari setelah melihat ramai orang berkerumun di kedai emas berkenaan.
Menurutnya, ketika meninjau ke dalam kedai terdapat beberapa cermin pameran pecah di kiri dan kanan serta bahagian depan.
“Cermin pameran cuma retak saja walaupun kelihatan kesan pukulannya kuat.
“Penjenayah dipercayai cuba mengetuk di semua tempat dengan harapan dapat memecahkan cermin tersebut tapi ternyata mereka gagal kerana ketahanan dan kualiti cermin digunakan di kedai emas itu,” katanya yang enggan dikenali.
Menurutnya, kejadian di kawasan perniagaan Jalan Mahagoni itu adalah yang pertama berlaku sejak operasinya dibuka.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...