Jumaat, 3 Ogos 2012

Mercun dijual berleluasa di Pasar Ramadan


Mercun dijual berleluasa
KLUANG - Meskipun mengetahui penjualan mercun dan bunga api menjadi satu kesalahan, namun masih ada pihak yang berani melakukannya malah menjualnya secara terang-terangan.
Tinjauan Sinar Harian di salah satu bazar Ramadan di sini mendapati penjualan kedua-dua bahan terlarang itu berleluasa sehingga lima gerai menjualnya tanpa rasa bimbang.
Pengunjung bazar, Ahmad Muhammad, 49, berkata, penjualan mercun dan bunga api di bazar di sekitar Kluang ini dilihat seolah- olah tiada tindakan daripada pihak berwajib kerana penjual menjual bahan berkenaan secara terbuka seperti pisang goreng panas.
Menurutnya, pengunjung turut memberikan sambutan menggalakkan dengan membeli bahan tersebut seperti tidak mempedulikan bahaya bermain mercun seperti yang banyak dipaparkan media.
“Bagaimanapun, sewajarnya pihak yang bertanggungjawab mentadbir kawasan bazar mengadakan pemantauan terhadap penjualan mercun dan bunga api ini agar ianya tidak berleluasa.
“Jangan hanya menunggu aduan daripada orang awam baru mahu bertindak, jika mereka menjual bunga api sahaja tidak mengapa tetapi mereka menjual mercun yang membahayakan,” katanya.
Ahmad berharap pihak yang berkaitan dapat turun padang melihat sendiri aktiviti penjualan mercun di bazar Ramadan yang semakin berleluasa walaupun, mereka amat mengetahui aktiviti tersebut bertentangan dengan undang-undang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner  Abdul Majid Mohd Ali berkata, pada masa ini, pihaknya telah menjalankan serbuan dan mengambil tindakan terhadap aktiviti penjualan mercun di kawasan bazar.
Beliau berkata, seandainya peniaga yang ingin menjual mercun dan bunga api mereka perlu mendapatkan permit jualan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan mengikut syarat yang telah ditetapkan iaitu hanya mercun jenis Pop-pop dan Happy Boom sahaja.
“Bagaimanapun, pihak polis akan tetap membuat pemantauan berterusan terhadap aktiviti menjual mercun dan bunga api.
“Malah, bagi mereka yang telah mendapat kebenaran menjual mercun dan bunga api tetapi tetapi melanggar syarat yang ditetapkan akan dikenakan hukuman di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM10,000,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Majid turut menasihatkan penjual yang telah mendapat permit daripada pihak polis supaya tidak melanggar syarat yang ditetapkan.
Beliau berkata, pelanggan mahupun pembeli juga diingatkan supaya tidak membeli atau memiliki mercun selain daripada yang telah dinyatakan itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...