Jumaat, 3 Ogos 2012

Peningkatan kehadiran polis punca penurunan jenayah indeks


Indeks jenayah Pulau Pinang turun 19.2 peratus



GEORGE TOWN - Indeks jenayah di Pulau Pinang berjaya mencatat penurunan sebanyak 19.2 peratus dalam tempoh Januari hingga Julai lalu berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata Ketua Polis negeri, Datuk Wira Ayub Yaakob.

Beliau berkata jumlah kes jenayah dilaporkan dalam tempoh itu ialah sebanyak 4,645 kes berbanding 5,750 dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

"Penurunan ini berlaku kerana peningkatan kehadiran polis di zon yang kerap menerima laporan kejadian jenayah," katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan daripada  Setiausaha Bahagian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dr S. Watchala di sini hari ini.

Katanya lawatan itu bertujuan menilai keberkesanan program yang telah dianjurkan Polis Diraja Malaysia Pulau Pinang dan melihat penerimaan masyarakat terhadap program itu sejajar dengan konsep 4P yang diamalkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu 'protective'  (melindungi), 'performance' (berprestasi), 'proactive' (proaktif) dan 'people oriented'  (berorientasikan masyarakat).

Beliau berkata dalam usaha memerangi jenayah di negeri ini, Anggota Polis Bantuan  (PB), Pasukan Simpanan Sukarela (PVR) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) akan digerakkan sebagai komponen sokongan utama kepada PDRM Pulau Pinang.

"Gabungan ini sebagai pembina hubungan yang baik dalam memupuk jalinan kerjasama antara komuniti setempat selain mereka dapat bertukar pandangan bagi terus mengurangkan kadar jenayah di negeri ini," katanya.

Ayub akan mula menggalas tanggungjawab baharu sebagai Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) khusus dalam menangani isu-isu keselamatan negara berkuat kuasa esok. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...