Sabtu, 18 Ogos 2012

Polis cari remaja lelaki


KUALA LUMPUR 15 Ogos - Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja lelaki bagi membantu siasatan kes remaja perempuan, Nurul Firzanah Mat Zaki, 16, yang koma akibat dibakar di kawasan semak berhampiran Seksyen 1, Wangsa Maju di sini awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata, remaja lelaki terbabit ialah Mohd. Amir Mohd. Anuar, (gambar) 18, beralamat di Taman Keramat di sini.

"Siasatan awal mendapati remaja lelaki itu dapat membantu siasatan kes tersebut yang menyebabkan mangsa terbakar 25 peratus dari muka hingga ke pusat.

"Dalam kejadian itu, suspek dikatakan telah menyimbah petrol di tubuh mangsa sebelum membakar remaja itu dalam semak," katanya di sini hari ini.

Kelmarin, mangsa yang belajar di tingkatan empat kini dilaporkan koma dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur selepas disimbah petrol dan dibakar oleh teman lelakinya kira-kira pukul 3.15 pagi.

Remaja perempuan itu dilaporkan terbakar 25 peratus di muka, dada dan tangan ketika keluar bersahur bersama teman lelakinya.

Mohmad menambah, polis masih menyiasat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki ini diminta menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur 03- 21460522 sambungan 597 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...