Sabtu, 18 Ogos 2012

Nelayan Vietnam parah ditembak

Gambar hiasan

KOTA BHARU 16 Ogos - Seorang awak-awak Vietnam cedera parah akibat ditembak di belakang badan oleh suspek tidak dikenali dalam kejadian di Jeti 98, Tok Bali malam tadi.

Hoang Cong Danh, 43, sedang menaiki motosikal bersama seorang rakan ke sebuah kedai runcit apabila mereka dipintas oleh sebuah motosikal lain ketika berada di atas jambatan kira-kira pukul 8 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Lay Yong Heng berkata, suspek lelaki berkenaan kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke udara untuk mengugut mangsa.

"Mangsa dan rakannya segera berpatah balik tetapi dikejar suspek yang kemudian memberhentikan motosikal pada jarak kira-kira 10 meter lalu melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa,'' katanya.

""Sebutir peluru terkena pada belakang mangsa berhampiran pinggangnya dan tembus sehingga ke bahagian perut kiri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini untuk menerima rawatan dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Yong Heng memberitahu, suspek kemudiannya melarikan diri ke arah Kuala Besut, Terengganu manakala mangsa dan rakannya gagal mengecam suspek serta motosikal yang dinaikinya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh. Polis masih menyiasat motif kejadian mengikut semua aspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu, katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...