Jumaat, 28 September 2012

2 anggota polis parah ditembak


KUALA LUMPUR 26 Sept. - Tindakan dua anggota polis peronda mengejar sebuah kereta dinaiki empat lelaki berakhir dengan kedua-dua mereka cedera parah akibat ditembak penjenayah terbabit di Jalan Kuchai Lama, di sini hari ini.

Kedua-dua anggota polis berpangkat koperal itu yang berusia 41 dan 52 tahun kini stabil walaupun terkena tembakan masing-masing di leher dan perut.

Difahamkan, pemandu kereta peronda jenis Proton Waja itu terkena tembakan di leher manakala rakannya cedera di perut setelah terkena tembakan dipercayai pistol.

Kejadian berlaku pukul 6.45 petang ketika dua anggota polis itu yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menahan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki empat lelaki berhampiran persimpangan lampu isyarat menghala ke Bukit Jalil.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, kereta dinaiki empat lelaki terbabit sebelum itu dikejar oleh anggota peronda setelah dilihat dalam keadaan mencurigakan di Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya).

Beliau berkata, sebaik sahaja kereta Proton Saga itu berhenti, dua daripada suspek tiba-tiba keluar dari kereta dan melepaskan beberapa das tembakan sehingga mengenai dua anggota polis terbabit.

“Kumpulan itu kemudian meloloskan diri dan mereka meninggalkan kereta tersebut kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian iaitu di Maju Expressway. Polis sedang mengesan dan memburu kesemua mereka.

“Kedua-dua anggota polis yang cedera ditembak kini stabil dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Bakri memberitahu, polis sedang mengesan identiti penjenayah terbabit selain memeriksa rekod kenderaan yang telah ditinggalkan suspek.

Ditanya sama ada kejadian ini mempunyai kaitan dengan kes rompakan sebuah kedai emas di Jalan Othman, Petaling Jaya yang meragut nyawa seorang pengawal keselamatan beberapa jam sebelum itu, Mohd. Bakri memberitahu, pihaknya masih lagi menyiasat kaitan tersebut.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan kesalahan penggunaan senjata api.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...