Jumaat, 28 September 2012

Penjenayah semakin berani bertindak ???


10 lelaki larikan 5 kereta dari bilik pameran

HULU LANGAT 25 Sept. - Sekumpulan 10 lelaki bertindak nekad memecah masuk sebuah bilik pameran kereta Honda di Sungai Long di sini dan melarikan lima buah kereta yang diletakkan dalam premis itu awal pagi ini.

Selain itu, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3 pagi, penjenayah terbabit yang bersenjatakan parang, kapak dan pisau turut mengikat dua pengawal keselamatan yang bertugas di pusat pameran itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Azman Ayob berkata, selepas mengikat kedua-dua mangsa, penjenayah berkenaan kemudian melarikan tiga kereta model Honda Accord serta sebuah Honda Civic dan Honda CRV.

"Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6.30 pagi selepas dua pengawal keselamatan tersebut berjaya melepaskan diri dengan membuka ikatan tangan.

"Berdasarkan siasatan awal yang dijalankan, kesemua suspek dipercayai rakyat tempatan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian hari ini.

Beliau berkata, premis itu yang baru beroperasi sejak awal tahun ini mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM500,000 ekoran kejadian tersebut.

Menurutnya, polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di pusat pameran itu bagi mengenal pasti kesemua suspek.

Katanya lagi, kes ini disiasat di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang petang ini mengesahkan bahawa seramai 10 hingga 15 penjenayah terlibat dalam kejadian itu namun 10 lelaki memecah masuk premis tersebut.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...