Jumaat, 28 September 2012

Sudah tahu ada operasi - maklumat bocor


KUALA LUMPUR: Walaupun baru ditubuhkan tidak sampai sebulan, Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (LKPJM) agresif untuk menangani jenayah apabila menjalankan operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di beberapa pusat urut yang terletak di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Operasi dijalankan selepas LKP JM mendapat aduan daripada orang ramai yang tidak selesa setiap kali mengunjungi pusat beli belah terbabit disebabkan ramai warga asing menawarkan perkhidmatan urutan sehingga mengganggu mereka.


Dalam operasi yang bermula jam 3 petang itu, kebanyakan pusat urut ditinggalkan kosong seolah-olah mereka sudah menyedari akan kehadiran pegawai penguat kuasa di kawasan terbabit, namun dua pekerja pusat urut berjaya ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan mereka.



Presidennya, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata, LKPJM akan terus melakukan beberapa operasi bersepadu bersama Polis, Jabatan Imigresen dan DBKL bagi membendung masalah sosial yang boleh membawa kepada jenayah.


Katanya, walaupun tidak ramai pekerja asing ditahan dalam operasi itu, namun ia sedikit sebanyak menakutkan mereka supaya tidak sewenang-wenangnya memberikan perkhidmatan urutan tambahan kepada pelanggan.



“Kita melakukan serbuan ke 16 pusat urut namun kebanyakan pekerja di pusat urut itu berjaya menghilangkan diri seperti sudah tahu taktik kita. Kita akan meneruskan operasi ini secara berterusan agar aktiviti tidak bermoral dapat dibanteras.




“Kita harap orang ramai akan tampil untuk membuat aduan kepada LKPJM sekiranya mendapati ada kegiatan kurang baik di kawasan mereka supaya LKPJM dapat mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.


Turut serta dalam operasi itu ialah Ketua Pengarah LKPJM yang juga Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...