Selasa, 11 September 2012

Lelaki putus telinga diserang dua individu kerana teguran


Lelaki nyaris putus telinga diserang dua individu kerana teguran
IPOH – Teguran berkenaan haiwan peliharaan membangkitkan rasa tidak puas hati jiran tetangga yang bertindak menyerang seorang buruh di Kampung Kobin, Mengelembu, di sini, menyebabkan mangsa hampir putus telinga akibat ditetak dengan parang.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, S Nagalingam, 41 cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Jurucakap polis memaklumkan, mangsa sedang berehat di perkarangan rumahnya pada masa kejadian dan telah didatangi dua individu berusia 30-an yang dipercayai jirannya.

Menurutnya, berlaku pertengkaran sebelum salah seorang daripada suspek bertindak menyerang mangsa bertalu-talu, menggunakan parang selepas berang dengan teguran daripada mangsa.

"Mangsa tidak sempat menyelamatkan diri dan pergelutan itu hanya terlerai selepas isteri mangsa melemparkan serbuk kari ke arah suspek.

"Menyedari perbuatan mereka diperhatikan jiran tetangga lain, kedua-dua suspek beredar dari rumah mangsa," katanya.

Isteri mangsa, G Saraswathy, 31 berkata, dia nekad membantu mangsa sungguhpun ketakutan melihat insiden berkenaan.

"Semasa kejadian, saya dengan bunyi bising di bahagian depan rumah, sebelum mendengar suami saya meraung minta tolong.

"Melihat keadaan suami saya yang parah ketika itu, saya bertindak nekad berlari ke dapur dan mengambil serbuk kari. Tidak disangka serbuk kari yang dilemparkan itu berjaya menakutkan mereka," katanya.

Mangsa yang merupakan bapa kepada lima orang anak, kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPB dan masih belum sedarkan diri.

Sinar Harian dimaklumkan keadaannya semakin stabil dan menerima jahitan pada telinganya serta terdapat kesan luka pada bahagian dada.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan, siasatan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...