Ahad, 23 September 2012

Peniaga nasi ayam mati ditembak


BUKIT MERTAJAM 22 Sept. - Bapa wartawan akhbar Guang Ming Daily yang juga peniaga nasi ayam maut manakala pekerjanya parah terkena enam das tembakan yang dilepaskan dua lelaki tidak dikenali di halaman Pangsapuri Taman Sejahtera Jaya di sini malam tadi.

Mangsa, Yeap Cheng Chye, 47, yang terkena empat das tembakan baru selesai berniaga dan datang ke pangsapuri tersebut untuk menghantar pinggan mangkuk ke rumah pekerjanya di situ dengan menaiki kereta, kira-kira pukul 11 malam.

Bagaimanapun muncul dua lelaki menaiki sebuah motosikal lalu turun dan menghampirinya sebelum melepaskan empat das tembakan ke arahnya.

Mangsa meninggal dunia di tempat duduk pemandu manakala pekerja wanitanya, Loh Seow Kee, 42, yang ketakutan cuba melarikan diri tetapi turut ditembak sebanyak dua das oleh suspek.

Seow Kee yang cedera di perut dan bahu kiri dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan menolak kejadian samun sebagai punca kerana barangan milik mangsa, termasuk dompetnya tidak diusik penjenayah.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang memakai topi keledar bertutup penuh dan memakai jaket berwarna gelap dipercayai telah mengekori mangsa sehingga ke lokasi kejadian.

"Polis masih menyiasat identiti suspek yang belum dikenal pasti. Kita akan lihat pelbagai aspek lain mungkin hutang dan hubungan antara si mati dan pekerjanya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam tadi.

Mazlan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian agar menghubungi polis atau mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, anak sulung mangsa, Gary Yeap, 23, berkata, dia berada di rumah ketika kejadian dan hanya dimaklumkan rakan-rakan bapanya pada pukul 11.10 malam.

"Saya tak tahu punca kejadian kerana bapa saya tiada musuh dan tidak berhutang dengan sesiapa," katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Forensik Hospital Seberang Jaya di sini hari ini.

Menurut beliau, bapanya dikenali kerana merupakan ahli MCA Machang Bubuk dan ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS).

Katanya, dia bercadang untuk berhenti kerja dan meneruskan perniagaan bapanya selepas ini.

Mangsa meninggalkan seorang isteri Toh Kean Lean, 45, dan dua anak lelaki masing-masing berusia 16 dan 23 tahun. Mayat mangsa akan dibakar di Tanah Perkuburan Cina Berapit, Rabu ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...