Isnin, 10 September 2012

Samun guna pemetik api


SEREMBAN: Mendakwa kononnya mahu melangsaikan hutang along, seorang lelaki nekad menyamun sebuah restoran di Seremban Jaya, di sini, dengan menggunakan pemetik api berbentuk pistol tidak ubah seperti senjata sebenar, Selasa lalu.

Bagaimanapun, kelicikan suspek berusia 30-an menyamun RM1,200 daripada pengusaha restoran yang juga pasangan suami isteri masing-masing berumur 38 tahun itu akhirnya tumpas tidak sampai enam jam apabila ditahan di rumahnya di Rahang, di sini.


Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang pada 4 September lalu itu, suspek menyerbu sebuah restoran yang sedang dikemas berikutan pengusahanya mahu menamatkan operasi.



"Suspek yang memakai cermin mata gelap dan menggunakan kereta Proton Saga Aeroback berwarna hitam itu nekad memasuki restoran berkenaan menerusi pintu hadapan yang ditutup separuh.


"Kemudian suspek terus mengacukan 'pistol' kepada pengusaha restoran iaitu pasangan suami isteri masing-masing berusia 38 tahun sebelum memaksa menyerahkan wang.



"Mangsa yang takut apabila diacukan 'pistol' itu menyerahkan sejumlah wang sebelum suspek melarikan diri dengan keretanya diletakkan di luar premis," katanya.



Menurutnya, polis kemudian dapat mengesan alamat suspek pada hari sama kejadian itu menerusi nombor pendaftaran sebenar kereta digunakan untuk menyamun.


Kira-kira jam 11 malam hari sama kejadian itu, suspek ditahan di rumahnya di Taman Bunga Blossom, Rahang, di sini, di hadapan isteri dan anak-anak suspek.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...