Isnin, 10 September 2012

senjata yang menyerupai senjata api tulen satu kesalahan dari segi undang-undang.


KUALA LUMPUR: Apa juga bentuk senjata yang menyerupai senjata api tulen dan boleh digunakan untuk menakut-nakutkan orang awam atau mungkin melakukan jenayah seperti peras ugut adalah satu kesalahan dari segi undang-undang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, individu yang memiliki senjata tiruan, buatan sendiri mahupun permainan yang menyamai senjata tulen boleh ditahan dan disiasat sekiranya disyaki membabitkan isu keselamatan. 

“Kalau seseorang itu menyimpan apa saja bentuk senjata api (tiruan, buatan sendiri dan permainan), sekiranya ia menyerupai dan berfungsi seperti senjata tulen, ia satu kesalahan,” katanya ketika dihubungi di sini.


Sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang negara, sebarang pemilikan senjata tertakluk kepada Akta Senjata 1960 dan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.



Memiliki senjata yang menyerupai senjata tulen boleh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun, atau denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya sekali.


Mengikut Seksyen 6, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 pula, seseorang yang didapati bersalah kerana menunjukkan senjata api tiruan dalam melakukan suatu kesalahan berjadual boleh dipenjarakan hingga sepuluh tahun dan tidak kurang tiga sebatan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...