Isnin, 1 Oktober 2012

Maut ditetak

Gambar hiasan

KLANG: “Biasanya setiap hari adik menghubungi saya, namun hari ini (semalam) dia tidak berbuat demikian, menyebabkan saya berasa hairan.

“Namun pagi tadi (semalam) saya terkejut sebaik menerima panggilan daripada anak mangsa mengatakan mangsa ditemui mati di bilik utama rumahnya,” kata S Karuppanan, 67, abang kepada S Doraisamy, 58, yang ditemui mati dengan kesan tetakan di kepala di rumahnya di Taman Telok Gadung, di sini, semalam.


Karuppanan berkata, biasanya mangsa berbual dengannya tetapi sehari sebelum kejadian, mangsa tidak berbuat demikian, malah cubaannya untuk menghubungi mangsa juga gagal.



Menurutnya, dua hari sebelum kejadian, mangsa menghubunginya dan tidak menyangka itu perbualan mereka yang terakhir sebelum ditemui mati.


Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang juga kontraktor tinggal di rumah berkenaan bersama dua anaknya sementara isteri dan dua lagi anak mangsa menetap di Kajang.



Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anak mangsa berusia 22 tahun jam 8.20 pagi sebelum sepasukan anggota polis bergegas ke rumah mangsa.




Katanya, sebaik tiba, polis mendapati mangsa dalam keadaan terlentang di dalam bilik utama rumahnya dengan kesan darah di lantai dan tangga.


“Siasatan polis mendapati ada kesan tetakan pada kepala mangsa dipercayai menggunakan senjata tajam, menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian.


“Polis tidak menolak kemungkinan mangsa disamun sebelum dibunuh berikutan kehilangan wang RM2,500 yang disimpan di dalam dompet,” katanya.


Menurut Mohamad, polis tidak menemui kesan umpilan pada pintu rumah mangsa dan tidak menolak kemungkinan ia memudahkan suspek masuk kerana mangsa sering tidak mengunci pintu.



Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...