Selasa, 2 Oktober 2012

Mayat terbakar ditemui di kawasan semak

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR — Mayat seorang lelaki dengan kesan terbakar 60 peratus dijumpai di kawasan semak berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Puchong di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh berkata, mayat itu ditemui seorang lelaki yang terhidu bau busuk ketika melalui kawasan berkenaan kira-kira pukul 6 petang.
"Dia menjejaki bau itu sebelum menemui mayat seorang lelaki yang hampir reput selain kesan pembakaran di kelilingnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Cheras di sini, hari ini.
Mohan Singh berkata, polis percaya mangsa dibunuh di tempat lain dan mayatnya dicampak di kawasan semak tersebut. Tiada senjata, kesan pergelutan atau kesan darah ditemui di lokasi itu.
Menurutnya, polis bagaimanapun menemui guni plastik yang dipercayai digunakan untuk mengangkat mayat mangsa sebelum dibakar. — BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...