Jumaat, 16 November 2012

Dua beranak pengsan dipukul


Dua beranak pengsan dipukul
ALOR GAJAH - Kegembiraan sebuah keluarga menyambut Hari Deepavali berakhir dengan tragedi apabila tiga daripada mereka dipukul jiran di sebuah taman di Pengkalan, dekat sini, malam kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa, C Rajendran, 48, bersama anaknya, V Yoganadan, 20-an, berada di dalam rumah sebelum didatangi sekumpulan lelaki yang mengamuk dan memukul kedua-dua mangsa dipercayai menggunakan sebatang kayu.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, kumpulan lelaki terbabit tiba-tiba menyerang keluarga mangsa selepas timbul rasa tidak puas hati melihat saudara-mara datang ke rumah mereka.

Menurutnya, sehari sebelum kejadian juga sudah berlaku pergaduhan antara kedua-dua keluarga itu dipercayai berpunca daripada balingan bunga api yang termasuk ke kawasan rumah jiran tanpa sengaja.

“Jiran mangsa yang rimas melihat kemeriahan itu bertindak masuk ke dalam rumah mangsa bersama lebih 10 rakannya.

“Selepas itu, berlaku pertengkaran antara mereka sebelum jirannya itu memukul kepala anak kedua mangsa menggunakan sebatang kayu sehingga pengsan,” katanya.

Jurucakap polis berkata, pertengkaran itu berlanjutan sehingga berlaku pergelutan pula antara Rajendran dan jirannya di atas jalan di hadapan rumah mereka.

“Isteri mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan itu juga cedera di tangan dipercayai terkena objek tajam.

“Manakala Rajendran pula dipukul di bahagian belakang kepala,” katanya.

Menurutnya, kemudian Rajendran merangkak sejauh 10 meter untuk menyelamatkan diri, namun rebah dan tidak sedarkan diri berikutan pendarahan yang banyak di bahagian kepala.

“Melihat keadaan mangsa tidak bermaya, jirannya yang lain menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah,” katanya.

Katanya, difahamkan pergaduhan antara kedua-dua keluarga itu sudah berlarutan sejak dua tahun lalu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati jiran mangsa.

Ketua Operasi JPAM, Mohd Jumat Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.35 malam.

Menurutnya, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kami menemui seorang mangsa yang terbaring di hadapan pintu pagar rumah bersebelahan sebuah motosikal.

“Manakala seorang lagi mangsa terbaring di atas jalan kira-kira 10 meter jaraknya dari rumahnya,” katanya.

Katanya, kedua-dua mangsa tidak sedarkan diri kerana berlaku pendarahan di bahagian kepala.

“Seorang lagi mangsa yang cedera di tangan diberi rawatan kecemasan sebelum dihantar ke hospital,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, lapan lelaki dan lima perempuan ditahan untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksen 148 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...