Jumaat, 21 Disember 2012

Wanita dibunuh kejam


JOHOR BAHRU: Mayat seorang wanita yang dibungkus dengan plastik ditemui di dalam sebuah kereta berhampiran sebuah dusun di Kampung Desa Idaman, Sedenak, Kulaijaya hari ini. 


Timbalan Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Deputi Superintendan Mohd Kamil Sukarmi, berkata wanita berkenaan dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya ditinggalkan di tempat duduk pemandu kereta itu.

Mayatnya ditemui kira-kira jam 7.30 pagi. 

"Mayat mangsa yang berusia 20-an ditemui oleh penduduk kampung yang curiga melihat kereta tersebut ditinggalkan tidak jauh dari jalan masuk ke dusun berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Menurutnya, polis yang tiba ditempat kejadian kemudiannya menemui dokumen pengenalan diri, namun masih menyiasat sama ada ia milik mangsa. 

Mohd Kamil berkata, polis percaya suspek cuba membakar kereta berkenaan namun hanya kerusi tempat duduk penumpang hadapan yang terbakar. 

"Polis juga percaya kenderaan ini adalah kenderaan curi kerana nombor pendaftaran yang digunakan menyamai dengan nombor pendaftaran sebuah kenderaan lain," katanya. 

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah. 

Orang ramai yang kehilangan saudara mara atau mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi balai polis bagi membantu siasatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...