PETALING JAYA — Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mencederakan seorang warga Myanmar dengan pisau ketika menyamun wang tunai berjumlah RM1,500 milik mangsa, 10 hari lepas.
K.Sinatambi, 19, dari Sentul didakwa bersama seorang lelaki yang masih bebas melakukan perbuatan itu terhadap Nay Kyaw, 25, di sebuah kafe siber di Jalan Puteri 5/7, Bandar Puteri, Puchong pada kira-kira pukul 6.50 petang, 14 Disember.
Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan Sinatambi diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Januari depan untuk sebutan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir manakala Sinatambi tidak diwakili peguam. — BERNAMA