Khamis, 10 Januari 2013

Polis tembak mati dua tahanan lolos


pix_topright
BUKIT MERTAJAM: Polis Pulau Pinang mengesahkan dua suspek yang ditembak mati di Padang Ibu tengahari ini adalah Joe Mafia atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Adam, 31, dan Mohd Noor Mohd Mustaffa, 28, atau 'Boy.'
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya mendapat maklumat pada jam 12.30 tengahari mengatakan kenderaan dinaiki suspek dilihat di kawasan Kubang Semang.
Beliau berkata, kereta jenis Proton Perdana itu akhirnya berjaya dikesan kira-kira jam 12.45 tengahari dan mengarahkan anggota untuk mengejar suspek.

Suspek bagaiamanpun cuba menghimpit kenderaan polis dan memecut laju memasuki kawasan tar di tali air Padang Ibu dan berlaku insiden tembak-menembak.

"Suspek melepaskan tembakan dan mengenai kenderaan polis. Polis membalas tembakan ke arah kedua-dua mereka sebelum kenderaan berkenaan terbabas ke dalam tali air.

"Salah seorang daripada mereka adalah dalang kumpulan, iaitu Joe Mafia. Dia amat agresif kerana mempunyai pistol," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Penemuan mayat Mohd Noor Mohd Mustaffa, 28, atau 'Boy' ditemui dalam sungai kira-kira jam 3.40 petang tadi tidak jauh dari kereta yang terbabas ke dalam tali air, katanya.

Abdul Rahim bagaimanapun menafikan kereta yang dinaiki suspek adalah kereta curi dan memberitahu ia milik orang lain.

"Kita percaya mereka berpecah kepada dua kumpulan. Satu kumpulan Joe Mafia dan satu lagi lima yang masih bebas," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengesan lima lagi suspek yang bebas dan menegaskan bahawa polis sudah mengetahui kedudukan mereka serta meminta mereka menyerah diri dengan kadar segera.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan orang awam supaya tidak memberi perlindungan kepada suspek mahupun memberi makanan kepada mereka kerana ia adalah satu kesalahan jenayah dan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...