Sabtu, 9 Februari 2013

Laporan polis bukan motif politik tetapi kemanusiaan


KUALA LUMPUR 7 Feb. - Bekas ahli seumur hidup Pas, Zainon Ismail atau C.N Al-Afghani menegaskan tujuannya membuat laporan polis semalam berhubung penyelewengan serta pecah amanah berkaitan Tabung Memali oleh Pas bukan bermotifkan politik sebaliknya atas faktor kemanusiaan.

Katanya, selain laporan polis yang telah dibuat pada 27 Julai 2000 lalu, laporan polis semalam adalah semata-mata demi keadilan dan hak balu, anak-anak yatim serta mangsa peristiwa Memali yang selama ini teraniaya walaupun Pas berjaya mengutip sumbangan begitu banyak untuk Tabung Memali.

Sehubungan itu beliau mahu polis menyiasat laporannya semalam secara halus dan dalam masa sama membuka semula laporan polisnya yang telah dibuat pada tahun 2000 itu.

“Bagi saya kes penyelewengan tabung Memali yang pernah saya laporkan kepada polis pada 2000 belum selesai. Sehingga kini saya tidak menerima sama ada dalam bentuk lisan atau surat yang menyatakan kes ini selesai.

“Mengenai laporan polis semalam, saya meminta polis menyiasatnya dengan halus dan terperinci dan sekiranya ada mana-mana pihak yang didapati melakukan penyelewengan atau pecah amanah mereka hendaklah dibawa ke muka pengadilan," katanya dalam sidang akhbar di sini malam ini.

Zainon yang juga pengarang buku Mohd. Sabu Air Mata Di Bumi Memali berkata, terdapat dua isu utama yang dibangkitkannya di dalam laporan polis semalam.

“Pertama isu kutipan sebanyak RM3,000 yang dibuat oleh pihak Perhubungan Pas Kedah terhadap 14 balu Memali yang sebelum itu menerima RM20,000 seorang sebagai pampasan daripada pihak kerajaan.

“Alasan mereka untuk membayar kos guaman sedangkan pihak peguam telah mengesahkan iaitu semasa menyerahkan pampasan kepada balu-balu bahawa bayaran guaman telah pun dijelaskan sepenuhnya dan tiada tunggakan," ujarnya

Beliau percaya berlaku penyelewengan dan pecah amanah oleh pihak tertentu dalam menguruskan wang berkenaan.

“Isu kedua adalah mengenai penyelewengan hasil jualan beberapa mesin jahit kepunyaan bengkel jahitan Memali berjumlah kira-kira RM30,000. Saya difahamkan bengkel ini telah ditutup atas arahan seseorang.

“Selepas ditutup, kesemua mesin jahit itu dijual kepada satu syarikat dari Perlis. Namun sehingga kini hasil jualan mesin tersebut tidak pernah diserahkan kepada bendahari bengkel, Solehah Husin. Tujuan bengkel ini diwujudkan adalah untuk membantu balu-balu Memali," ujarnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...