Sabtu, 9 Februari 2013

Pengutip hutang mati ditembak lelaki bermotosikal

Pembunuh Upahan

KUALA LUMPUR — Seorang lelaki dipercayai pengutip hutang mati selepas ditembak empat das dari jarak dekat oleh dua lelaki bermotosikal di sebuah persimpangan lampu isyarat di Puchong Utama, dekat sini, semalam.
Ketika kejadian pukul 2 petang itu, mangsa Lee Sam Ong, 41, berada dalam kenderaan jenis Honda Accord bersama isteri dan adiknya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas makan tengah hari di kawasan berdekatan.
Isteri mangsa memandu kereta tersebut dan mangsa duduk di sebelahnya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian dada, leher, lengan dan bahu kiri mangsa.
Bagaimanapun, isteri dan adik mangsa terselamat dan tidak mengalami kecederaan.
"Sebaik tiba persimpangan lampu isyarat, dua lelaki bermotosikal menghampiri kereta mangsa sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa,” katanya kepada Bernama menerusi khidmat sistem pesanan ringkas (SMS).
Yahaya berkata hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, polis menemui beberapa kelongsong peluru jenis luger 9mm.
"Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif utama kejadian itu, bagaimanapun polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu bermotifkan dendam,” katanya.
Beliau berkata mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...