Ahad, 10 November 2013

Posmen putus tangan kanan, ditetak dua lelaki


KOTA BHARU 9 Nov. - Seorang posmen putus tangan kanan dan cedera parah selepas ditetak bertubi-tubi oleh dua lelaki bersenjatakan parang di hadapan rumahnya di Kubang Kerian dekat sini pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.17 pagi itu, mangsa, Mohd. Al-Hafiz Mustapha, 29, ditetak di tangan, kaki dan muka sebelah kanan.

Mangsa yang berada dalam keadaan kritikal kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan dilaporkan terpaksa menjalani pembedahan bedah pada petang ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, siasatan awal mendapati, dua lelaki terbabit telah menyerang mangsa di hadapan rumahnya sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback yang dipandu oleh individu lain.

"Semasa kejadian, isteri mangsa telah mendengar jeritan suaminya yang kuat, dia terus keluar untuk melihat apa yang berlaku dan mendapati dua lelaki yang tidak dikenali melarikan diri selepas menyerang dan menetak mangsa.

"Kedua-dua lelaki itu memegang parang. Isteri mangsa terus menjerit meminta tolong dan kedua-dua suspek masuk ke dalam kereta yang dipandu oleh orang lain yang sedia menunggu dan terus memecut," katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...