Selasa, 1 Julai 2014

Adik-beradik ditahan dan rampas dadah bernilai hampir RM200,000


KOTA BHARU - Polis menahan tiga lelaki termasuk dua beradik dan merampas pelbagai jenis dadah yang dianggar bernilai hampir RM200,000 di Kampung Khatib Ali di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menyerbu sebuah rumah di kampung itu pada pukul 10.45 pagi dan menahan ketiga-tiga suspek yang berumur 20-an itu.

"Kita menemui sebotol dadah jenis heroin dan lima plastik cerah iaitu dadah jenis syabu seberat 51.2 gram di atas meja di ruang tamu rumah berkenaan.
Kemudiannya, pemeriksaan ke atas sebuah kereta milik salah seorang suspek yang diletakkan di belakang rumah berkenaan membawa kepada penemuan 90 botol mengandungi dadah jenis heroin seberat 288 gram,” katanya kepada pemberita di IPD Kota Bharu di sini hari ini.
Tambahnya, pihaknya turut menyita kenderaan milik suspek dan wang tunai sebanyak RM2,000 bagi siasatan lanjut. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...