Rabu, 30 Julai 2014

Parah disimbah asid


PASIR PUTEH - Perbalahan suami isteri warga Myanmar kerana sikap cemburu suami membawa kepada tragedi apabila isteri parah disimbah asid dalam kejadian di rumah sewa mereka, petang kelmarin.

Mangsa, Rashida Bibi Ali Hussein, 26, mengalami kecederaan pada bahagian muka termasuk kedua-dua belah mata selepas disimbah asid oleh suaminya sendiri.

Dalam kejadian jam 3.50 petang di rumah sewa di Jalan Pondok Lama di sini, suami mangsa turut ugut menikam mangsa dengan pisau sekiranya enggan minum asid.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, perbalahan itu dikatakan berpunca daripada perasaan cemburu suami terhadap isterinya yang menjual minuman di tapak pembinaan Pasir Puteh Centre tidak jauh dari rumah mereka.

“Perbalahan suami isteri itu berlaku di dalam bilik tidur, yang turut didengari oleh adik mangsa, Yusoff Ali Hussein, 20, yang kemudiannya membawa kakaknya ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh selepas mangsa meraung kesakitan.

“Suspek melarikan diri dengan menaiki teksi dan pihak polis sudah mengenal pasti suspek. Kita kini sedang memburunya,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu untuk rawatan lanjut dalam keadaan tidak sedarkan diri bergantung kepada alat pernafasan, selain terdapat kesan calar pada sebelah mata kiri dan terdapat sedikit cecair warna kehijauan keluar dari mata sebelah kanan mangsa.

“Pasangan tersebut bersama adiknya sebelum ini tinggal di Pulau Pinang dan baru tiga bulan menetap di rumah sewa berkenaan. Mereka adalah pelarian Mynmar yang memiliki sijil perlindungan antarabangsa daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Hasil siasatan awal mendapati, perbalahan yang berlaku disebabkan perasaan cemburu seorang suami apabila isterinya menjadi tumpuan ramai lelaki di tapak projek,” katanya.

Mazlan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat membantu pihak polis.

Hasil siasatan lanjut katanya, mangsa dan suspek telah mendirikan rumah tangga selama tujuh tahun, menetap di negara ini selama lapan tahun bermula di Pulau Pinang sebelum datang ke negeri ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...