Jumaat, 12 September 2014

Empat lelaki bersenjatakan parang samun empat sekeluarga

ROMPIN - Empat lelaki bersenjatakan parang menyamun empat sekeluarga selepas memecah masuk sebuah rumah kongsi di ladang pisang berhampiran Kampung Kedaik dekat Rompin lewat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, dalam kejadian pukul 11 malam itu, penjenayah berkenaan turut mengikat mangsa seorang wanita berketurunan Orang Asli berusia 56 tahun bersama tiga lagi anggota keluarganya.

"Semasa kejadian, kesemua mangsa yang masih belum tidur terkejut apabila pintu depan terbuka dan dimasuki oleh empat lelaki bertopeng bersenjatakan sebilah parang dipercayai diambil dari luar rumah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Selepas menggeledah rumah kongsi itu, beliau berkata, suspek melarikan seutas rantai dan sebentuk cincin emas, lapan telefon bimbit, wang tunai RM200 dan jumlah keseluruhan kerugian masih dalam siasatan.
"Mangsa yang berjaya melepaskan ikatan selepas itu, kemudian berjalan kaki balik ke rumah mereka di Kampung Kundang sebelum melaporkan kejadian di Balai Polis Muadzam kira-kira pukul 3.30 pagi tadi," katanya.
Polis kini sedang berusaha menyiapkan lakaran dua daripada empat penjenayah itu berdasarkan maklumat mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 /397 Kanun Keseksaan. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...