Rabu, 10 September 2014

Lelaki mati ditembak di parkir kereta

Gambar hiasan
Johor Bahru: Seorang lelaki mati ditembak di Jalan Kenanga 3, Taman Desa Cemerlang di sini malam tadi.

M Sasitharen, 33, ditembak lelaki tidak dikenali ketika berada di kereta Honda City dipandunya di tempat letak kenderaan depan deretan bangunan kedai tiga tingkat itu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Abdul Samad Salleh berkata polis terima panggilan pada jam 7.55 malam berhubung kejadian seorang lelaki ditembak beberapa das.

Katanya, sepasukan anggota polis yang tiba di lokasi beberapa minit kemudian mendapati mangsa sudah dibawa ke hospital oleh orang ramai.


"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sultan Ismail (HSI).

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis turut menubuhkan satu pasukan khas bagi melengkapkan siasatan kes ini," katanya.

Pada Januari lalu, mangsa yang turut dikenali sebagai Tiram Sasi itu pernah cedera ditembak di tempat letak kereta hadapan Pusat Hiburan Century Bell, Jln Permas 10/5, Permas Jaya.

Dalam kejadian itu mangsa ditembak ketika berseorangan dalam kereta jenis Honda City yang dipandunya.

Akibat kejadian itu mangsa cedera akibat terkena tembakan di tangan kanan dan perut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...