Seorang pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan seorang rakannya ditahan di sebuah rumah
pangsa di Pulau Pinang semalam kerana disyaki memiliki syabu.
Ketua
Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata sejumlah dadah ditemui
bersama pegawai berpangkat inspektor berusia 30 tahun itu.
"Pegawai
ini baru sahaja melaporkan diri di IPD Ipoh kira-kira 6 bulan lepas. Ujian air
kencing turut mendapati pegawai dan rakannya itu positif dadah," katanya
kepada pemberita pada majlis serah tugas Ketua Polis Perak.
Jawatan
itu akan dipangku Datuk A Paramasivam yang kini menjawat jawatan timbalan ketua
polis Perak sementara Acryl Sani akan menyandang jawatan pengarah Jabatan
Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit
Aman mulai 20 Oktober ini.
Kes itu
diserahkan kepada polis Pulau Pinang untuk menjalankan siasatan.
Acryl
Sani berkata, polis tidak akan berkompromi dengan pegawai dan anggotanya yang
melakukan kesalahan jenayah dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang
sedia ada.
"Untuk
jadikan PDRM sebagai pasukan relevan dan dihormati, kita tidak akan bertolak
ansur, dasar kerajaan adalah tegas, tindakan tegas akan diambil terhadap
mana-mana individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah," katanya. –
Bernama, 16 Oktober, 2014.