Seorang rakyat Malaysia ditemui mati ditembak dalam sebuah kebun
getah di Narathiwat, Thailand.
Mayat
Sukri Ismail atau nama panggilannya Mat Yei Kudung, 50, yang beralamat Kampung
Laloh, Kuala Krai, Kelantan, dijumpai kira-kira 10 pagi ini.
Kapten
Monteri Janmuang dari Balai Polis Daerah Rusak, Narathiwat, berkata polis
menerima laporan tentang penemuan mayat itu daripada Annuar Cheknae, Penolong
Ketua Kampong Bangol Laweng, Mukim Batong, Rusak pada 10 pagi ini.
"Mangsa
berpakaian baju polo dan seluar jeans mati ditembak dengan pistol yang tidak
dikenalpasti jenisnya di bahagian kepala dan belakang.
"Daripada
siasatan polis, dipercayai mangsa dibawa ke tempat kejadian oleh dua atau tiga
lelaki untuk dibunuh dan melawan serta cuba melarikan diri tetapi gagal,"
katanya.
Beliau
berkata polis Thailand sudah menghubungi pejabat Konsulat Malaysia di Songkla
untuk melaporkan kejadian itu dan polis sedang menyiasat sama ada kes
pembunuhan ini ada kaitan dengan puak pemisah atau masalah peribadi.
Sementara
itu, menurut sumber Kedutaan Malaysia di Bangkok yang dihubungi Bernama, ada
waran tangkap dikeluarkan terhadap lelaki itu berkaitan kes jenayah.
Terdapat
sekurang-kurangnya lima laporan polis dibuat terhadapnya yang dipercayai
bersembunyi di Thailand, menurutnya. – Bernama, 16 Oktober, 2014.