Rabu, 15 Oktober 2014

PDRM DAN FRIM ANTARA CALON AKHIR ANUGERAH INOVASI ANTARABANGSA CAPAM


PUTRAJAYA, 15 Okt (Bernama) -- Dua pasukan dari Malaysia berjaya ke peringkat akhir Anugerah Inovasi Antarabangsa CAPAM, yang diadakan sempena Persidangan dwitahunan Persatuan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) 2014.
Kedua-duanya ialah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menerusi pembangunan Teknologi Rawatan Kayu, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi Sistem Pemantauan Bandar Raya Selamat (SCMS/SPBS).

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif CAPAM Gay Hamilton berkata pasukan Malaysia bersama 10 calon lain dari India, Singapura, Trinidad dan Tobago, akan membentangkan inovasi masing-masing di hadapan juri dalam tempoh beberapa hari akan datang.
"Tahun ini, kami menerima 120 permohonan, dan kini hanya tinggal 12 peserta akhir dalam empat kategori berbeza - Inovasi bagi Dialog dan Penglibatan Warganegara, Inovasi dalam Pengurusan Perkhidmatan Awam, Penggunaan Teknologi Secara Inovatif dalam kalangan Awam dan Inovasi dalam Program dan Perkhidmatan Kerajaan.
"Jamuan malam Presiden CAPAM akan berlangsung pada 21 Okt, dan pemenang bagi setiap kategori akan diumumkan," katanya pada taklimat media mengenai persidangan dwitahunan itu di sini hari ini.
Persidangan yang bertemakan "Transformasi Perkhidmatan Awam: Satu Bicara Baharu", akan dihoskan oleh Malaysia buat kali kedua dari 19 hingga 21 Okt. Pelbagai program diatur untuk persidangan itu dan juga ulang tahun ke-20 CAPAM.
Program termasuk Forum Peringkat Menteri Komanwel, Mesyuarat Agung Tahunan CAPAM dan Forum Media Komanwel.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...