Isnin, 30 Mac 2015

Mayat lelaki berkopiah ditemui di Teluk Bahang


BALIK PULAU, 30 Mac: Penemuan mayat di tepi jalan berhampiran empangan di Teluk Bahang hari ini menimbulkan kegemparan buat penduduk dan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

Mayat terbabit dikatakan seorang lelaki tua beragama Islam ditemui hanya berkain pelikat putih, berkopiah dan ditutup dengan selimut berwarna jingga.

Penduduk kemudiannya bertindak menghubungi pihak polis yang tiba di lokasi kira-kira jam 10.47 pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Lai Fah Hin ketika dihubungi The Rakyat Post mengesahkan penemuan itu dan berkata, tiada sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat terbabit.

“Berdasarkan siasatan awal, kami percaya suspek meninggal dunia di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi terbabit.

“Mayat yang dilihat mempunyai kesan darah pada hidung itu dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk dibedah siasat,” katanya.

Tambahnya, tiada kesan kecederaan pada badan mayat terbabit dan polis percaya mayat berkenaan merupakan warga asing.


“Kami masih lagi menyiasat kes ini dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...