Isnin, 30 Mac 2015

Polis tak akan kompromi aktiviti menghasut


KUALA LUMPUR, 29 Mac: Polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang sengaja menghasut rakyat untuk tidak menghormati undang-undang dan Perlembagaan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghormati kebebasan untuk bersuara seperti yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.

Namun begitu menurutnya, polis tidak akan membenarkan kebebasan bersuara itu digunakan untuk menghasut agar sistem yang ada di negara kita ini tidak dihormati.


“Hanya kerana keputusan mahkamah tidak memihak kepada kumpulan tertentu ia tidak bermakna mereka mempunyai kebebasan untuk menghasut.

“Oleh itu sebarang kegiatan yang menghasut orang ramai supaya tidak menghormati sistem yang mengikut undang-undang dan perlembagaan akan diambil tindakan,” tegas beliau merujuk kepada penganjuran himpunan #KitaLawan.

Khalid berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-22 Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) di ibu negara oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden YPJM, Tan Sri Lee Lam Thye.

Sementara itu, Zahid berkata, beliau sebagai Menteri Dalam Negeri menyerahkan kuasa sepenuhnya berkaitan operasi kepada Ketua Polis Negara dan PDRM.

Jelasnya, perkara-perkara yang menyebabkan polis terpaksa mengambil tindakan adalah merupakan langkah pencegahan keselamatan.

“Saya mempunyai keyakinan walaupun langkah-langkah berkenaan dikritik namun ia dilakukan sebagai langkah pencegahan,” ujarnya.

Sejak himpunan #KitaLawan mula diadakan pada setiap Sabtu setelah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihukum penjara lima tahun atas kesalahan meliwat, tujuh ahli parlimen pembangkang sudah ditahan polis, selain beberapa ahli politik Pakatan Rakyat yang lain serta aktivis himpunan itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen PKK Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen PKR Pandan, Rafizi Ramli; Ahli Parlimen PKR Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen DAP Rasah, Teo Kok Seong; Ahli Parlimen PAS Kuala Krai, Dr Hatta Ramli, Ahli Parlimen PKR Sungai Siput, Dr Michael Jayakumar Devaraj; dan terbaru pada jam 3.20 pagi tadi, Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad.

Turut ditahan ialah aktivis sosial, Hishammuddin Rais, ahli Sekretariat #KitaLawan Fariz Musa serta beberapa individu lain termasuk dua mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Tindakan polis itu dikiritik hebat dan dituduh sebagai usaha untuk mengancam atau menakut-nakutkan orang ramai untuk berhimpun bagi menyampaikan mesej kepada kerajaan.

Sumber: KLIK
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...