Rabu, 4 Mac 2015

Pengawal keselamatan maut ditetak

Gambar hiasan

BANTING: Seorang pengawal keselamatan warga tempatan berumur 50 tahun mati ditetak oleh sekumpulan empat lelaki dalam kejadian di Teluk Panglima Garang, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 3.15 pagi itu turut menyebabkan seorang lagi pengawal keselamatan mengalami kecederaan parah di tangan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azman Abdul Razak, berkata ketika kejadian, mangsa yang mati itu berada di dalam pondok pengawal, sebelum secara tiba-tiba diserang oleh kesemua suspek.


"Sekumpulan empat lelaki itu kemudiannya cuba menetak rakan mangsa dan mengenai bahagian tangannya, namun dia berjaya lari menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Azman berkata, polis menolak dakwaan kes berkenaan ada kaitan dengan unsur perkauman atau kongsi gelap, sebaliknya menegaskan ia berpunca perebutan kawasan keselamatan.

"Kami berharap orang ramai tidak memanipulasi kes ini dan tidak menokok tambah apa-apa maklumat yang tidak benar supaya tidak menimbulkan kekacauan," katanya.

Beliau berkata, seramai empat lelaki sudah ditahan di sekitar Kuala Langat bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk dibedah siasat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...